Sheikh Abdus Shamad
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani Wafat Sebagai Syuhada
LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah. SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.
LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah. SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.
Prof. Dr. Hamka
menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah,
Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya
Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.
Sebagaimana
disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan
bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat
kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu
Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab
Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan
Sheikh Abdur Rahman al-Masri.
Diceritakan
oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul
Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk
mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh
Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi
mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.
Di
Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya
daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak
melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir
hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan
kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan
perbandingan pula.
Sheikh
Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan
belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan
di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk
beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak
madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka
bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah
pendidikan di Pattani.
Sekembali
dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah
diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka
berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu
layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di
Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian
melalui jalan darat terus ke Singapura.
Sheikh
Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya
Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat
setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.
Sheikh
Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi
dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke
Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad
meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).
Setelah
di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung
Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan,
menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin
Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat
sebagaimana semestinya.
Orang
yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan
solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh
orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah
kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti
yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka
dan hadirin tersebut.
Dengan
tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia
berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis
Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir
itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh
Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani
membantah.
Khalayak
ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid
yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan
Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu.
Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan
dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.
Peristiwa
itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada
zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh
Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka
dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal
yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal,
dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi
pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga
hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.
Setelah
peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing.
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad
Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis
juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Ramai
meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di
negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah
pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana
melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di
lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.
Maka
beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau
kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri
tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah
dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti
meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.
Lantaran
terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga
terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama
orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau
bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup
mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya
ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti
itu.
Ini
membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan
pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat
dilupakan.
Pulang ke nusantara buat kali kedua
Setelah
perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh
Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa
orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan
penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman,
terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.
Untuk
menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku
tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa
Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul
Mujtahidin fi Sabilillah.
Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.
Di
sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk
kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak
ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir
bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah.
Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah
dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.
Meskipun
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan
antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus
surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas
melaksanakan ibadah haji.
Selain
hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia
Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami
ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan
Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.
Beliau
sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan
menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah
Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda
(pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).
Ini
terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono
I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran
Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan
Belanda di Semarang (tahun 1772 M).
Sheikh
Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta
dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun
setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di
Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.
Sebelum
perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil
al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus
Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum
Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah
sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah
air) mereka.
Dalam
peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan
penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik
mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi
beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid,
bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.
Banyak
orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak
menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi,
termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang
bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal
yang dapat merosakkan Islam itu.
Golongan
ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah.
Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat
dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan
Rasul dari segala apa pun juga.
Kepulangan
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad
demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum
keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah
akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat
menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.
Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.
Sementara
itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah
mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula
langkah perjuangan.
Pattani
telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun
berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau
berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang
Tuah’ itu.
Para
pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi
kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih
percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.
Mengenai
tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh
Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada
1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli
sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak
peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian
dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu,
yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M,
perlu kepada penyelidikan lanjut.
Kesimpulannya,
kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu
adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai
seorang ‘syuhada’.
No comments:
Post a Comment