Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak
KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan
diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan
galur bangsa.
Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan
berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan
Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan
untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.
Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali
dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk
Sumatera merujuk keris sebagai kareh.
Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu
malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura
orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.
Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris
juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam
ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai
pastinya Taming Sari.
Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada
pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming
Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan
Melayu.
Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak
wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul
persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.
Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk
mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan
pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi
merungkai persoalan itu.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd
Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat
Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang
lain.
Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud
dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan
ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan
berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.
Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga
menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang
wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.
“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada
pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah
Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah
sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris
itu memang ada.
“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata
berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli
kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti
sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.
Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan,
namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu
diketepikan kepercayaan itu.
Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut
Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik
keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.
“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana
kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu
Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.
“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau
menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada
Paduka Raja.
“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang
kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta
spiritual di dalamnya,” katanya.
Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang
Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan
terkenal di mata dunia.
“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun
Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan
apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan
Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya.
Pantang larang Taming Sari
RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu
terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit,
Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah
ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.
Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming
Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah
senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu,
Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris
berkenaan.
Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga
kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana
Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.
Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang
Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan
Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu
sebati dalam sejarah Melayu.
Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris
berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga
diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi
yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.
Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai
berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika
mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk
memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.
Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian
Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana
senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah
pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan
amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada
abad ke-15.
Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang
kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor
Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika
seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri
Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan
warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran
Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum
selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari
Keputeraan baginda.
"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah
sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada
Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.
Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian
berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris
Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran
Diraja Perak.
"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu
terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber
kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak
tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan
alat kebesaran diraja itu.
"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan
pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi
penjelasan kepada rakyat," katanya.
Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan
keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi
lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26
alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana
berkenaan.
Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa
'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu
dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.
Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di
ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan
keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.
Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran
Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai
‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang
berniat buruk terhadapnya.
Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat
Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan
sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara
luar.
No comments:
Post a Comment