Tuesday, July 13, 2021

Jenis2 Riba

 RIBA' : DEFINISI DAN JENIS-JENIS RIBA'


Isu riba’ merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang Muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian Muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba’ merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah SWT. 


Apa itu Riba’?


Apa Jenis-jenis Riba’?


Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba’?


Apa itu Riba’?


Takrifan ringkas riba’ ialah merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi)(1). 


Ia merangkumi merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun)  dan riba melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).


Apa pula Riba’ ad-Duyun dan riba al-Buyu’?


A) Riba’ ad-Duyun

Riba jenis ini adalah riba’ yang muncul dari hutang. Ia merupakan lebihan yang terhasil disebabkan tempoh. Ia terbahagi kepada dua iaitu:


a) Riba al-Qardh: Iaitu sebarang manfaat tambahan yang disyaratkan ke atas pemberian jumlah pinjaman pokok. Syarat ini dibuat pada awal kontrak pinjaman. Ia dikenakan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam. 


Sebagai contoh, Ahmad ingin meminjam RM1,000 daripada Mohd. Tetapi Mohd menetapkan syarat bahawa Ahmad wajib membayar semula hutang tersebut sebanyak RM1,200. Lebihan RM200 merupakan riba ad-Duyun jenis al-Qardh.


b) Riba al-Jahiliyyah: Merupakan kadar atau sebarang manfaat tambahan lebih dari jumlah pokok, yang dikenakan oleh pemberi pinjam kepada peminjam akibat si peminjam gagal membayar pada tempoh yang telah dipersetujui.  


Sebagai contoh, Mohd bersetuju memberi pinjaman kepada Ahmad sebanyak RM500 dan dikehendaki membayar kembali satu bulan dari sekarang. Tetapi sekiranya Ahmad gagal membayar hutang Mohd sebelum atau pada 1 bulan yang telah ditetapkan, maka Ahmad dikehendaki membayar pada Mohd sebanyak RM600. Lebihan sebanyak RM100 merupakan riba’ ad_Duyun jenis al-Jahiliyyah.


B) Riba’ al-Buyu’

Riba’ jenis ini pula muncul daripada jual beli barangan ribawi. Ia merupakan ketidaksamaan pada berat atau kuantiti pertukaran 2 barang ribawi atau pertukaran tersebut dibuat secara tangguh.


a) Riba’ an-Nasa’: Ia merupakan jual beli atau pertukaran 2 barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).


Sebagai contoh, Aminah membeli emas seberat 6 gram dengan harga RM1,000 secara tangguh (maknanya, ambil emas hari ini, bayarnya bulan depan). Riba an-Nasa' juga disebut sebagai riba an-Nasiah.


b) Riba al-Fadhl: Merupakan jual beli atau pertukaran antara 2 barangan ribawi yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika dijual secara bilangan kuantiti). 


Sebagai contoh, Menukar 10 gram emas (jenis 916) dengan 12 gram emas (jenis kualiti 750). Pertukaran jenis ini adalah haram kerana sepatutnya kedua-duanya mesti sama timbangan (contoh: 10 gram atau 12 gram). Perbezaan kualiti tidak memberikan kesan kepada hukum.


Terdapat 2 syarat yang wajib dipenuhi agar terhindar daripada riba al-Fadhl dan riba’ an-Nasa’, iaitu:


i) Mesti sama berat atau kuantiti nya (walau berbeza kualiti dan harganya).


ii) Transaksi pertukaran mesti dilakukan dalam satu masa atau satu majlis (maksudnya, pembeli dan penjual tidak boleh beredar sebelum menyerahkan barang pertukaran).


Apa Ancaman Bagi Orang Islam Yang Mengamalkan Riba’?


A) Allah dan RasulNya Mengisytiharkan Peperangan ke atas Pemakan dan Pemberi Riba.


Firman Allah swt:


Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.  Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 278-279)  


Ini merupakan ancaman keras dari Allah. Bahkan merupakan ayat cabaran dari Allah bagi sesiapa yang degil dan engkar dengan perintahNya. Imam Abu Hanifah pernah berkata;” Ini adalah ayat al-Quran yang paling menakutkan.”


Tinggalkan riba jika kamu benar-benar mengaku sebagai hamba Allah.


B) Kehilangan Berkat Harta dan Kehidupan.

Firman Allah swt:


“Allah menghancurkan keberkatan kerana riba’ dan menambahkan keberkatan daripada sedekah.” (al-Baqarah: 276)


C) Seperti berzina dengan Ibu Bapa Sendiri.


Nabi saw Bersabda:


“Riba’ mempunyai 72 pintu. Riba’ yang paling ringan dosanya ialah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.”

(Riwayat at-Tabrani, 7/158; al_Hakim, Sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)


Mari kita buka mata dan hati, betapa beratnya ancaman Allah terhadap orang yang mengamalkan riba dalam kehidupan seharian.


D) Lebih berat Daripada 36 Kali Berzina.

Nabi saw bersabda:


” Satu dirham riba’ yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.” (Riwayat Ahmad dan Ad-Dar Qutni)


E) Salah Satu Daripada 7 Dosa Besar.

Nabi saw bersabda:


” Jauhilah 7 dosa besar; syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan riba’, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan(kerana takut), dan menuduh perempuan yang suci berzina(tanpa saksi adil).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Fahami apa itu riba’, jenis-jenisnya dan apa ancaman yang datang dari Allah dan Rasulnya bagi sesiapa yang mangamalkan riba’ dalam kehidupan meraka. Semak semula, dari mana sumber pendapatan kita selama ini. Semoga kehidupan kita bebas riba dan larangan-larangan yang lain.


Nota: (1) Barangan ribawi adalah berkaitan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Apabila ditukar emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus(pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana disukai.” (Riwayat Muslim nombor 4039, nombor hadis, 11/9)

No comments: