Friday, October 19, 2012

Khutbah Aidil Adha,,Brunai Dar salam


KHUTBAH YANG PERTAMA
Saudara-saudara Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah melanjutkan umur kita sehingga kita berpeluang meraikan Hari Raya Haji pada tahun ini. Dengan ketibaan Hari Raya Haji ini, bererti jemaah Haji yang sedang berada di tanah suci kerana menunaikan fardhu Haji telah pun melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara ibadat Haji. Dinamakan Hari Raya Haji kerana saat ini semua umat Islam yang berada di tanah suci sedang mengerjakan ibadat Haji dan dinamakan juga sebagai Hari Raya Korban kerana pada hari ini kaum muslimin disunatkan melakukan ibadat korban iaitu menyembelih binatang sama ada unta, lembu, kerbau atau kambing untuk disedekahkan.
Ibadat korban adalah sebagai memperingati kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam iaitu ketabahan seorang ayah yang sanggup hendak menyembelih anak kesayangannya. Manakala anak pula taat dan ikhlas serta rela untuk disembelih demi menyahut dan melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wataala.
Itulah ketaatan yang luar biasa yang ditunjukkan oleh Nabi Ismail Alaihissalam sebagai seorang anak yang solih dan beriman kepada Allah Subhanahu Wataala. Cuba bayangkan jika perkara seumpama ini berlaku ke atas diri kita apakah kita sanggup berbuat demikian? Jika Nabi Ismail Alaihissalam sanggup untuk berkorban nyawa, apakah kita tidak sanggup berkorban harta, masa, tenaga dan perasaan untuk ibubapa kita yang telah bersusah payah membesarkan kita dan sanggup berkorban apa saja. Ibubapa sanggup berpenat lelah dan berusaha sedaya upaya mendapatkan nafkah untuk menyara anak-anak, mereka sanggup berjimat dan mengikat perut mereka semata-mata untuk menyenangkan anak-anak, sehingga ada di antara anak-anak mereka yang hidup senang-lenang kerana mendapat pendidikan yang sempurna.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Ahqaaf, ayat 15:-
Tafsirnya:
Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Umat Islam yang dirahmati Allah,
Cuba kita renung dan fikirkan pengorbanan seorang ibu yang mengandungkan kita selama sembilan bulan. Pada ketika itu ibu mengalami pelbagai masalah baik fizikal dan emosi. Semakin besar kandungan, maka semakin besar pula risiko yang dihadapi. Hatinya merasa cemas menantikan masa untuk melahirkan, dan apabila tiba saat anak hendak lahir ke dunia ini, si ibu menanggung kesakitan dan kesukaran melahirkan, bertarung nyawa menghadapinya. Setelah lahir, ibu akan berjaga malam kerana menyusukan dan melayan karenah anak damit, dan menjaganya dengan penuh perhatian dan kasih sayang.
Oleh itu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh ibubapa, apakah wajar anak berlaku derhaka kepada mereka dan lupa terhadap jasa-jasa yang mereka curahkan? Mungkin kita pernah mendengar kisah anak yang tidak menghormati ibubapa, tidak mahu mendengar nasihat sehingga lari dari rumah, sedangkan ibubapa dalam kebimbangan dan kekhuatiran. Dan ada pula kisah anak yang tidak lagi memperdulikan orang tua mereka, sehingga tidak mengendahkan keperluan dan kebajikan mereka, bahkan sanggup menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan orang-orang tua semata-mata tidak mahu memikul beban untuk bersusah payah menjaga orang tua yang telah uzur. Mudah-mudahan kejadian seumpama ini tidak berlaku di negara kita.
Inikah balasan anak terhadap ibubapa yang telah menabur bakti sehingga lupa bahawa kesenangan yang mereka nikmati kini adalah hasil titik peluh, pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibubapa mereka.  Walaupun ada di antara ibubapa itu yang tidak mampu memberikan segala yang diperlukan oleh anak-anak dengan sempurna dan sepenuhnya disebabkan keadaan kehidupan mereka, tetapi sebagai anak, sepatutnya taat dan patuh kepada ibubapa kerana tanpa mereka kita tidak akan wujud di dunia ini.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-
Maksudnya:
Dari Abdul Rahman bin Abi Bakrah dari bapanya Radiallahu-Anhu ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Mahukah aku beritahukan kamu dosa yang paling besar? Kami menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah, sabda Rasulullah: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibubapa.  (Riwayat Al-Imam Bukhari).
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ketaataan kepada ibubapa bukan hanya kepada ibubapa muslim sahaja, malahan Islam mewajibkan ke atas anak taat kepada ibubapa yang masih belum Islam dalam hal-hal yang tidak menjejaskan akidah dan keimanan. Agama Islam tidak akan memutuskan hubungan kekeluargaan antara seorang anak dengan ibubapanya hanya kerana berbeza agama atau kepercayaan.
Adalah menjadi kewajiban seorang anak untuk berbakti dan berkhidmat kepada ibubapanya sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Semasa hidup, seorang anak dituntut berbakti kepada ibubapa dengan mentaati perintah mereka selagi tidak bertentangan dengan akidah dan hukum syara', memberi sebarang pertolongan atau bantuan sama ada berupa kewangan atau lainnya sehingga mereka merasa selesa dan aman dalam menjalani kehidupan ini.  Bahkan diwajibkan juga supaya berbudi bahasa dan berlemah lembut dengan mereka serta memanggil dengan panggilan yang baik lagi mesra, bukannya menyakitkan mereka baik dengan tingkah laku, bahasa dan percakapan yang kurang sopan. Sebagai seorang anak mestilah bersedia dan rela mengorbankan masa dan harta untuk memelihara ibubapa yang telah berjasa sejak kita lahir ke dunia ini.
Begitulah juga terhadap ibubapa yang telah meninggal dunia, kita digalakkan meneruskan bakti kepada  mereka dengan mendoakan dan memintakan ampun untuk mereka, menziarahi kubur, menunaikan segala janji dan wasiat mereka, menjelaskan hutang-hutang mereka jika ada, menunaikan fardhu Haji bagi mereka iaitu bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan ibadat Haji, bersedekah untuk ibubapa dan banyak lagi. Apa yang kita harapkan mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan anak-anak yang soleh taat kepada ibubapa dan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan mereka. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa’, ayat 23:-
Tafsirnya:
Dan tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan yang kasar sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah kepada mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun.

KHUTBAH YANG KEDUA
Saudara-saudara umat Islam yang dikasihi,
Agama Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu membantu ke arah kebaikan, kerana dengan demikian akan menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama lain.  Jika suasana sedemikian wujud di kalangan umat Islam, maka akan terbinalah kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni.  Inilah faktor kekukuhan dan kekuatan umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Maa-idah, ayat 2:-
Tafsirnya:
Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab siksanya.
Salah satu cara bagi mempraktikkan konsep tolong-menolong, bantu-membantu ini ialah bersedekah. Bersedekah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.  Bagaimanapun terdapat hari-hari yang lebih digalakkan untuk kita melakukan sedekah seperti pada bulan Ramadan, kerana pada bulan itu pahala bagi setiap kebajikan akan dilipatgandakan. Selain bersedekah di bulan Ramadan, bersedekah juga disunatkan pada hari-hari mulia seperti pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Begitu juga disunatkan bersedekah sewaktu berada di tempat-tempat yang mulia dan suci seperti Mekkah Al-Mukaramah dan Al-Madinah Al-Munawwarah, semasa berjihad, semasa menunaikan fardhu Haji, ketika berlakunya peristiwa-peristiwa penting seperti gerhana matahari dan bulan, ketika sakit dan ketika hendak memulakan sesuatu pelayaran.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 yang tafsirnya:-
Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah maha luas rahmat kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya.
Begitulah betapa besarnya kelebihan yang akan diperolehi oleh orang-orang yang bersedekah. Walau bagaimanapun sedekah yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi itu adalah lebih baik dan lebih utama dari sedekah yang dilakukan secara terang-terangan. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 271:-
Tafsirnya:
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu secara terang, maka yang demikian adalah baik kerana menjadi contoh yang baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-sesalahan kamu.  Dan ingatlah, Allah maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam agama kita amat menggalakkan amalan bersedekah, namun terdapat garis panduan yang perlu diambil kira sebelum bersedekah, kerana dengan cara demikian kita akan bersedekah dengan cara yang terbaik dan sedekah yang dilakukan tidak membebankan diri sendiri dan orang-orang yang berhak terhadap diri kita.
Sebaiknya sedekah yang diberikan itu hendaklah diambil dari baki atau lebihan belanja keperluan hidup diri kita dan orang-orang yang di bawah tanggungan kita. Adalah berdosa jika bersedekah dengan sesuatu yang boleh mengurangkan dan menjejaskan perbelanjaan orang-orang yang di bawah tanggungan kita, sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Daripada Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda: Sebaik-baik sedekah ialah yang diberikan lebihan daripada keperluan, dan mulailah dari orang yang menjadi kewajiban kamu memberi nafkah yang menjadi tanggunganmu. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Wahai kaum Muslimin,
Galakan bersedekah itu tidaklah ditentukan kepada orang-orang tertentu tetapi kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan dan berkelebihan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-
Maksudnya:
Dari ‘Adi bin Hatim Radiallahu Anhu berkata:  Saya mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:  Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan memberikan sedekah separuh buah kurma. 
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Ingatlah wahai kaum Muslimin,
Bahawa bersedekah bukanlah perbuatan yang sia-sia dan merugikan dan mengurangkan harta, tetapi sebaliknya akan memberikan keuntungan dan menambahkan harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan. Maka bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha yang mulia ini, marilah kita sama-sama merealisasikan contoh pengorbanan besar Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam. Inilah contoh tauladan yang sepatutnya menjadi ikutan dan pendorong yang mencetus semangat ke arah ingin tolong-menolong, bantu-membantu mereka yang dalam kesusahan. Kenapa tidak, sedangkan Nabi Ibrahim Alaihissalam sanggup mengorbankan anak kesayangan baginda demi menyahut perintah Allah Subhanahu Wataala, apakah kita tidak sanggup mengorbankan sedikit daripada harta kita demi membantu mereka yang jelas memerlukan pertolongan.
Dalam hal ini Alhamdulillah negara kita juga menunjukkan keperihatinan dan tidak ketinggalan dalam usaha membantu mangsa Tsunami baik melalui kerajaan mahupun sektor swasta. Sebagai contoh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah membuat inisiatif menghantar bantuan kemanusiaan yang melibatkan sukarelawan terdiri daripada doktor-doktor, jururawat-jururawat dan tenaga-tenaga di bidang perubatan atau kesihatan dari Kementerian Kesihatan, dan juga anggota-anggota Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei serta sukarelawan-sukarelawan yang mempunyai kemahiran-kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.
Selain itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya juga telah memperkenankan untuk pemberian bantuan pemulihan dengan membangunkan masjid, asrama anak yatim dan sekolah dengan pelaksanaan awalnya ialah mengumpul terlebih dahulu maklumat dan membuat kontek dengan pihak-pihak berkenaan di Aceh.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan yang termampu dan terdaya oleh kita dengan hati yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan amal kita itu diterima Allah Subhanahu Wataala dan mendapat ganjaran pahala daripadanya.  Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba’, ayat 39:-
Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.

No comments: